Wednesday, October 10, 2012

Pengalaman 10.10.12

Awwalul kalam dengan salam, Buat junjungan Khairal Anam,Dalam selawat yang disulam , Alur zikir memuji Sohibul 'Alam.




Hari ini merupakan 10 Oktober 2012 atau 10.10.12… tarikh ini merupakan antara tarikh yang mempunyai pelbagai cerita sama ada misteri, tragedi , duka atau pelbagai lagi.  Bagi sesetengah orang, tarikh ini merupakan tarikh yang cantik dengan kedudukan angkanya iaitu 10.10 dan disebalik keunikan angkanya itu, ada insan yang berduka pada tarikh ini. Di UPSI, tempat permata hatiku menuntut ilmu pula, tarikh ini penuh kisah misteri. Eh, kenapa nak ulas tentang tarikh ni pulak...sebenarnya tarikh ni juga memberi makna kepada aku.

 Pada hari ini, buat pertama kalinya dalam hidupku, aku memasuki mahkamah. Bukan sebagai pemerhati, tetapi sebagai pesalah. Bukan kes jenayah atau kes yang berat Cuma kes ringan yang tidak boleh dipandang remeh iaitu kes  saman JPJ. Walaupun ini kes JPJ, aku tetap dihadapkan di mahkamah dan akan dibacakan pertuduhan kesalahan yang aku lakukan.  Pengalaman ini merupakan pengalaman baru dalam hidupku.  Aku tiba pada awal pagi. Hati ini berdebar dan hanya mampu berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.  Tidak perlu untuk menyatakan kesalahan apa sebab nak dikongsikan ialah pengalaman. Saat memasuki kamar perbicaraan, rasa gemuruh dan debaran semakin kencang. 

Beberapa pesalah yang lain juga masuk bersamaku. Kiri kanan dalam kamar tersebut diisi oleh beberapa anggota polis. Semua individu yang berada dalam mahkamah membisu seribu bahasa. Masing-masing tertumpu pada pintu tempat Hakim keluar. Selepas bunyi loceng, Hakim keluar dan semua diminta berdiri. Seorang demi seorang pesalah dipanggil ke hadapan Hakim dan dibacakan pertuduhan mengenai kesalahan yang dilakukan.  Tiba giliranku, dengan penuh yakin aku ke depan. Langkah penuh yakin tapi lutut sedikit menggigil. Aku mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan memohon untuk membuat rayuan mengurangkan hukuman. Hakim tersebut seorang wanita dan aku memberi sebab untuk mengurangkan hukuman. Akhiranya, Hakim menerima rayuanku dan mengurangkan hukuman. Setelah itu, aku duduk di belakang kandang pesalah. Setelah selesai, aku keluar. Rasa lega dan syukur kepada Allah kerana melepasi ujian-Nya ini. 

Aku tidak tahu bagaimana perasaan jika seseorang defendan itu melakukan kesalahan jenayah yang berat dan dibacakan pertuduhan terhadapnya. Dan aku juga tidak dpat bayangkan bagaimana perasaan jika Hakim menjatuhkan hukuman gantung mandatori. Ini baru mahkamah di dunia dan bayangkan bagaimana nanti kita akan berhadapan dengan mahkamah YANG MAHA AGUNG di mana hakimnya adalah ALLAH dan amalan kita sebagai eviden (bukti) terhadap hidup kita di dunia. Sama-sama kita renungkan dan fikirkan. Jaga lah diri sentiasa dan hindari jenayah. Ingatlah orang yang tersayang dan menyayangi kita. Hidup ni tak lama dan semua yang ada adalah Milik-Mu Ya Allah.wassalam…