Sunday, September 30, 2012

Amalkan Ucapan Terima Kasih

Berapa kerapkah kita mengucapkan terima kasih kepada ibu kita, kawan-kawan kita atau guru-guru kita? Tambah-tambah apabila bersama rakan, kita jarang untuk mengucapkan terima kasih, kerana kita sudah biasa dengan rakan kita. Rakan tolong belikan makanan, tolong belikan topap, tolong angkat kain kita dan macam-macam lagi. Kita kata, tak penting ucapan terima kasih di mulut, yang penting kita membalas balik perbuatannya. Saya juga selalu fikirkan begitu.

Rasulullah S.A.W bersabda :

"Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah S.W.T"

Namun, ada orang yang di mulut sahaja mengucapkan terima kasih. Dan terima kasih itu terhenti di situ sahaja tanpa membalas dengan perbuatan yang serupa. Lebih teruk kalau jasa baik orang lain dibalas dengan perbuatan jahat kita.

Banyak cara untuk membalas budi seseorang. Biasakan ucapan terima kasih, selain itu hendaklah memberi penghargaan, memberi senyuman, atau hadiah untuk kita membalas budi seseorang.